
Fahmi jumpa Steven Sim cari jalan bantu anak seni
PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi akan berusaha untuk membantu anak seni yang tidak mempunyai sebarang perlindungan selepas bersara.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, sehubungan itu beliau telah bertemu dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong untuk mencari penyelesaian isu tersebut.
“Ramai dalam kalangan seniman negara tidak ada sebarang perlindungan selepas mereka bersara.
“Kes Ross Ariffin menjadi gelandangan selama tiga tahun dan kes isteri allahyarham Pak Jabit yang hidup serba kekurangan telah menemukan saya dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim untuk perbincangan khas berhubung perkara tersebut.
“Kementerian Komunikasi sedang mencari penyelesaian terbaik untuk mendapatkan perlindungan kepada pengamal media separuh masa, kru filem, kru muzik, dan kru produksi belakang tabir,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan juga akan menganjurkan kempen kesedaran tentang kepentingan mencarum dengan PERKESO melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Baru-baru ini Fahmi melawat Ross Ariffin dan balu kepada allahyarham Man Kadir Samsi atau lebih dikenali sebagai Pak Jabit, Maharani yang kini diuji dengan masalah kesihatan.
Prihatin dengan situasi yang melanda keluarga anak seni itu, Fahmi berikrar untuk berusaha mencari penyelesaian termasuk dengan menambahbaik skim bagi melindungi seniman dan ahli keluarga terdekat mereka.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |