Berita Semasa

50 pemimpin MIC ikrar sokong PN di Selangor

SHAH ALAM – Seramai 50 pemimpin MIC di seluruh negeri ini berikrar akan menyokong Perikatan Nasional (PN) di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pernyataan sokongan tersebut dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC, Parthiban Karuppiah yang mendakwa MIC tidak dilayan secara adil dalam gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) serta mengabaikan nasib kaum India di negeri ini, lapor Utusan Malaysia.

Menurutnya, PN dipercayai komited dalam membela nasib kaum India apabila mengumumkan enam calon mewakili kaum itu berbanding PH-BN yang meletakkan empat calon di Selangor.

“Tindakan ini juga dibuat berikutan keputusan CWC MIC baru-baru ini untuk tidak berkempen bagi calon PH pada PRN akan datang di enam negeri. Keputusan itu dibuat selepas MIC tidak dilayan secara adil dalam gabungan Barisan Nasional dan dilihat tidak lagi memperjuangkan nasib kaum India di negeri-negeri ini,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama 50 pemimpin MIC lain menyatakan ikrar menyokong PN di hadapan Timbalan Pengerusi PN Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi di pejabat Pas Selangor.

Parthiban yang juga dikenali sebagai Cikgu Parthiban dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu sebelum ini menafikan beliau digantung atau dipecat daripada CWC dan parti selepas didakwa menyertai kempen PN.

Malah, pada Ahad lalu, beliau dilihat hadir Majlis Pelancaran Sekretariat Kelab Penyokong PN (India) di Tanjong Karang yang dihadiri Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu, kenyataan sama turut memaklumkan Parthiban bersama pemimpin-pemimpin MIC akan memastikan gelombang masyarakat India terus membadai kawasan bandar di negeri ini.

“Gelombang masyarakat India itu telah mula tercetus di kawasan luar bandar seperti di Tanjong Karang dan Kuala Selangor. Dengan lebih 40 peratus daripada jumlah populasi kaum India yang bermastautin di Selangor, beliau yakin dapat memberi kelebihan kepada PN,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button