Usahawan perlu bina daya tahan tinggi bagi harungi cabaran ekonomi – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR – Ketidaktentuan ekonomi global pada masa kini memerlukan para usahawan menyiapkan diri dengan daya tahan tinggi bagi mengharungi cabaran.
Sehubungan itu, kata bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, acuan kepemimpinan dalam sesebuah organisasi, sama ada syarikat kecil mahupun gergasi itu adalah mustahak dalam menentukan hala tuju syarikat.
“Kebanyakan syarikat yang berjaya mempunyai pemimpin yang bersifat kritis dan kental dalam mendepani cabaran perniagaan kini yang semakin dinamik.
“Kita semua tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin yang hebat tetapi saya yakin pengalaman pahit manis dalam membangunkan perniagaan itu menjadi titik tolak kepada apa yang anda semua telah capai hari ini,” kata Ismail Sabri ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022, di sini malam tadi.
Beliau menambah, lanskap dunia perniagaan yang berubah pasca pandemik Covid-19 turut menyaksikan perubahan perniagaan secara konvensional kepada perniagaan secara dalam talian.
“Dalam dunia kehidupan pasca pandemik ini, saya yakin tiada produk atau perkhidmatan yang tidak boleh dibeli daripada internet,” katanya.
Berdasarkan Laporan Barometer e-Dagang Asia Tenggara (SEA), jumlah pembeli secara dalam talian di Asia Tenggara dijangka terus meningkat kepada kira-kira 380 juta orang menjelang 2026.
Tambahnya, persekitaran ekonomi dunia pada tahun ini masih mencabar meskipun kebanyakan negara sedang melalui fasa pemulihan dan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada
dunia perniagaan global dan juga tempatan.