Saifuddin nafi dakwaan Hamzah Zainuddin berhubung niat batal parti
PUTRAJAYA – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menafikan dakwaan beliau pernah merayu kepada bekas menteri dalam negeri supaya keputusan Pemilihan PKR pada 2022 dibatalkan.
Saifuddin sebaliknya berkata, tindakan yang dilakukan ketika itu adalah hanya menjawab surat tunjuk sebab yang diarahkan oleh Jabatan Pertubuhan Malaysia (Ros) yang jika tidak dilakukan boleh membatalkan pendaftaran parti itu.
Beliau berkata, dakwaan yang dibuat oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu hanyalah ‘kenyataan politik’ untuk menjejaskan reputasinya menjelan Pilihanraya Negeri akan datang.
“Saya kerap berjumpa dengan beliau (Hamzah) dan juga pada waktu itu kami baru selesai pemilihan parti.
“Jadi saya sebagai Setiausaha Agung bertanggungjawab untuk memberi maklum balas kepada surat tunjuk sebab. Saya telah menjawab dua kali surat sebab.
“Jika sekiranya saya mahu parti (PKR) dibatalkan, saya tak payah jawab. Maksudnya saya tak perlu jumpa menteri untuk batalkan (parti),” katanya yang tewas kepada Rafizi Ramli dalam pemilihan itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media Hari Imigresen yang berlangsung di Dataran Pahlawan, Presint 1 hari ini.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, di dalam surat kepada RoS itu, beliau sebagai Setiausaha Agung memberi sebab mengapa parti tidak patut diharamkan.
Ketua Pembangkang, Hamzah dalam ucapannya di Alor Setar malam tadi mendakwa Saifuddin pernah merayu kepada beliau selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membatalkan pendaftaran PKR.