Politik

Boleh kritik saya tapi jangan libatkan raja – PM

TANJUNG KARANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan sesekali menggunakan peruntukan undang-undang secara sewenang-wenangnya terhadap pemimpin parti politik yang mengkritik beliau.

Beliau berkata, kerajaan hari ini sentiasa bersikap terbuka dalam menerima kritikan dan teguran namun tidak sesekali bertolak ansur apabila ada pihak menyentuh institusi di raja.

“Awak caci maki tiap-tiap hari Perdana Menteri ini, adakah saya ambil tindakan? Tidak.

“Kalau mahu saman, saya saman guna tindakan mahkamah. Saya tidak guna Akta Hasutan.

“Tapi kalau caci raja, itu hadnya. Kerana raja itu ‘abang’ politik. Dia bukan ketua parti tapi ketua negeri dan ketua negara,” katanya pada program Maal Hijrah di Tanjong Karang, malam tadi.

Justeru katanya, pihak yang masih mahu menyentuh isu sensitif berkaitan institusi di raja perlu bersedia untuk menerima tindakannya.

Anwar berkata, beliau juga tidak akan menzalimi sesiapa menggunakan kuasa yang ada termasuk pemimpin dari parti pembangkang.

Katanya, pengalaman berada di dalam penjara juga menyedarkan beliau betapa sukarnya kehidupan di sebalik tirai besi.

“(Kalau ikutkan) saya dikritik, sudah lama saya ambil tindakan. Kalau ikut kadang-kadang geram, saya dah perosok dalam lokap tetapi tidak boleh sebab negara ini negara hukum (ada undang-undang).

“Orang Pas ke, orang Bersatu ke, saya tidak akan zalimi kerana saya tahu apa dia sengsara duduk dalam penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa di Mahkamah Selayang selepas membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap raja.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button