Presiden Bersatu sudah beri keterangan kepada SPRM – Sumber
CYBERJAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yasin difahamkan sudah memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima parti tersebut
Satu sumber memaklumkan, Muhyiddin hadir memberi keterangan berhubung kewangan parti di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pagi semalam.
Katanya, selain Muhyiddin, keterangan beberapa pemimpin tertinggi parti berkenaan juga sudah diambil sebelum ini.
“Sehubungan itu, kertas siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima Bersatu daripada dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19 dipercayai di fasa terakhir untuk dilengkapkan sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
“Kertas siasatan sudah pun dilengkapkan dan keputusan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini sama ada saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan atau tidak terhadap beberapa individu,” kata sumber itu.
Laporan media sebelum ini memberitahu, beberapa akaun milik Bersatu dibekukan oleh agensi tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan pembekuan akaun tersebut berkata, pembekuan itu dilaksanakan bagi membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.
Tambah Azam lagi, siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Azam turut dilaporkan mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan SPRM mempunyai kuasa yang tidak terbatas untuk menyemak mana-mana akaun parti politik di negara ini.