42,946 pelajar ke IPTA bakal terima wang pendahuluan pinjaman
KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan peruntukan berjumlah RM64.42 juta kepada seramai 42,946 pelajar yang telah berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bagi kemasukan sesi Julai tahun ini.
Menurut PTPTN dalam satu kenyataan, pihaknya sentiasa berusaha untuk membantu serta menjaga kebajikan pelajar yang akan memasuki IPTA dengan menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP).
“WPP berjumlah RM1,500 diberikan kepada setiap pelajar yang layak untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki IPTA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pihaknya sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA.
Katanya, PTPTN komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan.