Proton umum X90 kenderaan guna enjin tenaga baharu
SUBANG JAYA – Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) hari ini mengumumkan X90 sebagai kenderaan tenaga baharu pertamanya (NEV).
Model tersebut adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketiga Proton selepas X70 dan X50 dan dibangunkan bagi memenuhi segmen premium, moden serta keluarga.
Ketua Pegawai Esekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, kejayaan memperkenalkan X90 juga amat bermakna kerana dibuat ketika sambutan ulang tahun ke-40 Proton selain menjadi permulaan bagi kehadiran lebih banyak model NEV di masa-masa akan datang.
“Ini juga seiring dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kenderaan generasi akan datang.
“Selain itu, ia juga membuktikan bahawa biarpun selepas empat dekad, Proton masih memainkan peranan utama dalam membangunkan industri automotif tempatan,” katanya pada majlis previu X90 kepada media, di sini hari ini.
SUV X90 didatangkan dalam empat varian standard, eksekutif, premium dan perdana dan ditawarkan ditawarkan dalam enam warna iaitu putih, perak, kelabu, coklat, merah delima dan biru laut.
Model kenderaan elektrik hibrid ringan itu bukan setakat menawarkan ruang dan kebolehgunaan dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, tetapi juga tersedia sebagai enam tempat duduk dengan kerusi individu di barisan kedua.
Harga Proton X90 bagaimanaoun hanya akan diumumkan pada majlis pelancaran rasmi yang dijadualkan dalam masa terdekat ini.
Model X90 akan dipasang di kilang Proton Tanjung Malim bersama dengan X50 dan X70.