Sumbangan Asas Rahmah (SARa) RM600 disalur mulai Isnin – PM
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lebih 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) sebanyak RM600 mulai Isnin ini.
Menurut Perdana Menteri, sumbangan itu bagi membolehkan penerima mendapatkan barangan keperluan makanan asas.
“Kerajaan sudah menyediakan STR untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan sebagai tambahan, lebih 200,000 penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin tegas berdasarkan data e-Kasih, akan turut menerima SARa mulai 17 Julai ini.
“Bagaimanapun, perincian berhubung program SARa ini, akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan melancarkan Program Geran Padanan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan peruntukan RM100 juta pada bulan depan.
Katanya, sejumlah peruntukan juga dikhususkan untuk menggalakkan penjaja kecil aktif dalam pemasaran digital serta melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan.
Mengenai Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan B40 mendapatkan rawatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP), Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju memperluaskan pelaksanaannya ke tujuh negeri di bandar berkependudukan tinggi.
“Melihat sambutan yang amat menggalakkan dan keberkesanan skim ini, skim ini akan diperluaskan di tujuh negeri terutama di bandar yang berkependudukan tinggi seperti Klang, Johor Bahru dan Kuching,” katanya.
Sementara itu, Anwar mengumumkan tambahan peruntukan RM100 juta untuk pelaksanaan projek kecil di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadikan keseluruhan peruntukan bagi tahun ini sebanyak RM400 juta.
“Kerajaan turut bersetuju menambah peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan sebanyak RM600 juta menjadikan keseluruhan untuk tahun 2023 RM1.5 bilion.
“Sebagai tambahan, kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan sebahagian peruntukan penyelenggaraan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi melaksanakan projek penyelenggaraan kecil di sekolah Kerajaan,” katanya lagi.