Threads dilancar secara rasmi, bakal jadi pesaing Twitter
WASHINGTON – Syarikat induk Facebook Meta hari ini secara rasminya melancarkan aplikasi terbarunya, Threads yang dilihat bakal menjadi pesaing Twitter.
Aplikasi yang dibangunkan oleh pasukan Instagram itu bertujuan menyediakan platform untuk perbualan dalam talian masa nyata dan berkongsi kemas kini teks.
Menurut syarikat itu, hantaran boleh mencapai sehingga 500 aksara dan boleh memasukkan pautan, foto serta video yang panjangnya sehingga lima minit.
“Kami sedang berusaha untuk menjadikan Threads serasi dengan rangkaian sosial yang terbuka dan saling beroperasi yang kami percaya boleh membentuk masa depan internet,” lapor Bernama.
Menerusi hantaran Threads, Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg berkata, visi aplikasi baharu itu adalah untuk mewujudkan pilihan dan ruang awam yang mesra untuk perbualan.
“Kami berharap untuk membawakan perkara terbaik dilakukan Instagram dan mewujudkan pengalaman baharu mengenai teks, idea dan membincangkan perkara yang ada dalam fikiran anda,” tulisnya.
Aplikasi Threads kini tersedia di lebih 100 negara untuk pengguna iOS dan Android.
Pemilik Twitter, Elon Musk baru-baru ini mengeluarkan arahan terbaru yang menyatakan akaun berbayar terhad membaca 6,000 ciapan sehari manakala akaun tidak disahkan terhad membaca 600 ciapan sehari.
Bagi akaun baharu yang belum disahkan pula, terhad membaca hanya 300 ciapan sehari.
Hal ini menimbulkan persoalan, adakah langkah ini akan menyebabkan lebih banyak pengguna Twitter beralih kepada Threads?