Luar Negara

Bekas pegawai kanan Polri dijatuhi hukuman mati kerana bunuh pengawal peribadi

JAKARTA – Seorang bekas pegawai kanan pasukan Polis Republik Indonesia (Polri), Jeneral Ferdy Sambo dijatuhi hukuman mati semalam selepas didapati bersalah merancang membunuh pengawal peribadinya, Brigadier Jen. Nofriansyah Yosua Hutabarat pada 8 Julai lepas.

Laporan media Indonesia menyebut, hukuman tersebut diumumkan oleh Hakim Mahkamah Jakarta Selatan, Wahyu Iman Santoso setelah majlis tiga hakim mendapati Ferdy bersalah.

“(Mahkamah) mengisytiharkan defendan Ferdy Sambo bersalah secara meyakinkan dan sah kerana melakukan jenayah pembunuhan terancang… dan menjatuhkan hukuman mati kepada defendan,” kata beliau.

Majlis tiga hakim tersebut turut menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas isteri Ferdy, Putri Candrawathi kerana turut terlibat dalam perancangan membunuh Hutabarat.

Sambo yang merupakan jeneral dua bintang Polri dinamakan sebagai suspek selepas pengawal peribadinya itu ditemukan mati di rumah Sambo pada Julai, dalam pembunuhan yang pada mulanya didakwa cuba disembunyikan.

Beliau juga didapati bersalah kerana menghalang keadilan dengan mengarahkan supaya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipadamkan.

Menurut Wahyu, tindakan Ferdy telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat awam dan sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

Mahkamah Daerah Jakarta Selatan juga menolak hujah pembelaan bahawa Hutabarat telah melakukan gangguan seksual terhadap isteri Ferdy, berikutan kekurangan bukti.

Mahkamah mendapati, Ferdy telah mengarahkan seorang lagi pengawal peribadinya menembak dan membunuh Nofriansyah dan dia turut melepaskan tembakan ke arah mangsa dalam kejadian yang berlaku di kediaman rasminya di Jakarta Selatan.

Sambo telah dipecat pada 25 Ogos 2022 manakala isterinya, Putri Candrawathi dan tiga lagi pembantu turut didakwa atas tuduhan terbabit dalam pembunuhan yang dirancang.

Show More

Related Articles

Back to top button