Enam lagi jemaah Malaysia meninggal dunia di Mekah
MEKAH – Enam lagi rakyat negara ini dilaporkan meninggal dunia ketika mengerjakan ibadah haji menjadikan jumlah kematian jemaah Malaysia setakat ini 14 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Naim Mokhtar berkata, semua jemaah itu sempat melakukan ibadah wukuf dan kebanyakannya meninggal dunia akibat sakit jantung, paru-paru berair dan jangkitan kuman pada darah.
Mereka ialah Bawi Solek, 75, dari Kampung Hilir Pusa, Sarawak; Raksan Matasil, 74, (Kota Kinabalu, Sabah); Madon Mohamed, 71, (Masai, Johor); Roba’ayah Yusoff, 71, (Beruas, Perak); Syed Abu Hassan Basri Syed Ahmad, 74, (Sauk, Perak) dan Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54, berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
“Pihak hospital Arab Saudi dan petugas Lembaga Tabung Haji (TH) telah membantu waris yang meninggal dan waris mereka yang berada di tanah air juga telah dimaklumkan.
“Saya bagi pihak pengurusan TH ingin ucapkan takziah kepada waris yang telah meninggal di Mekah dan bersama-samalah kita mendoakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan mereka yang beramal soleh,” katanya dalam sidang media penutup musim haji 1445H/2024 di Ibu Pejabat TH di sini malam tadi.
Pada masa sama, seramai 93 jemaah haji Malaysia kini menerima rawatan akibat pelbagai masalah kesihatan dengan 11 daripada mereka ditempatkan di Hospital Arab Saudi termasuk dua dalam keadaan kritikal di Hospital King Abdulaziz, manakala 82 lagi di Pusat Rawatan TH Makkah.
Beliau berkata, kebanyakan kes membabitkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru disebabkan cuaca panas dan kering.
Sementara itu, Mohd Naim menyifatkan operasi haji tahun ini sebagai antara yang paling cemerlang dan mengucapkan tahniah kepada pengurusan TH serta petugas yang memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan jemaah haji Malaysia terjamin.