Berita Semasa

Pengurangan subsidi elektrik bantu tingkat ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan melaksanakan subsidi bersasar menggantikan subsidi penuh bagi tarif elektrik adalah sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan ekonomi negara.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, inisiatif tersebut boleh mengubah ekonmi Malaysia daripada model ekonomi kos rendah kepada ekonomi bernilai tinggi.

“Dahulunya, mana-mana negara yang sedang mengalami revolusi perindustrian sama ada Jepun, Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Malaysia, bersaing dengan menawarkan ekonomi kos rendah.

“Oleh yang demikian, kerajaan memberi subsidi yang besar kepada banyak perkara seperti bahan api fosil dan elektrik, kita perlu mematuhi pelbagai keperluan antarabangsa.

“Malaysia sedang melaksanakan inisiatif dalam peralihan ini bagi mengikuti jejak ekonomi Asia lain seperti Singapura, Korea Selatan dan Taiwan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Energy Asia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Tambah Nik Nazmi, pemain industri kini telah menyesuaikan diri dengan peralihan tenaga boleh diperbaharui dan cekap tenaga untuk mengurangkan kos tenaga walaupun banyak aduan diterima pada awalnya.

“Jika sebelum ini ada syarikat ke Malaysia hanya kerana tarif elektrik rendah, kerajaan kini mahu mereka tampil disebabkan akses kepada pekerja yang lebih baik dan mereka juga perlu mampu membayar gaji yang lebih tinggi,” katanya selepas diminta mengulas mengenai Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Show More

Related Articles

Back to top button