25 buah sungai dalam kategori tercemar – TPM Fadillah
PUTRAJAYA – Sebanyak 25 buah sungai di seluruh negara berada dalam kategori tercemar.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, sungai tercemar itu dikesan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak membabitkan pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat.
“Secara keseluruhan, yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) ada sebanyak 672 sungai (di seluruh negara) dan empat peratus atau 25 sungai daripadanya, termasuk dalam kategori tercemar.
“Antara sungai dalam kategori ini ialah Sungai Bakar Arang dan Sungai Petani di Kedah serta Sungai Jawi, Sungai Chempedak, Sungai Rambai dan Sungai Pinang di Pulau Pinang,” katanya.
Fadillah berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Tambahnya, antara punca pencemaran dikenal pasti adalah disebabkan sisa industri, loji kumbahan, perbandaran, pertanian, perumahan dan penternakan.
Beliau menjelaskan, sebanyak 72 peratus iaitu 486 daripada jumlah sungai yang dipantau JAS berada dalam kategori bersih manakala 24 peratus atau 161 sungai pula berada dalam kategori sederhana.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune