Berita SemasaPM X

[VIDEO] ‘Saya tidak pergunakan perundangan negara untuk politik dendam’

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengamalkan politik dendam adalah sama sekali tidak benar.

Kata Anwar, beliau tidak menggunakan sistem perundangan negara untuk membalas dendam, malah sentiasa menghormati undang-undang negara termasuk tidak mencampuri tugas-tugas serta keputusan yang dibuat oleh peguam negara dan hakim terhadap sesuatu pendakwaan.

“Kalau benar saya dendam sudah ramai yang terperosok ke Penjara Sungai Buloh, tetapi saya tahu perlunya kita pertahan prinsip keluhuran undang-undang.

“Siapa yang mahu disiasat, didakwa itu bukan kuasa saya, kuasa saya terhad kepada pengarahan terhadap institusi keselamatan menjalankan tugas mereka dengan tegas dan berani,” kata Anwar dalam ucapannya selepas menyaksikan pementasan teater ‘Cikgu Anda’, di sini malam tadi.

Jelas Anwar, beliau tidak boleh mengarahkan peguam negara untuk mendakwa kerana sesuatu pendakwaan mesti mempunyai fakta yang kukuh.

Anwar juga berkata beliau tidak mahu menjadi seorang pemimpin yang menggunakan kuasa untuk menindas dan menzalimi mana-mana individu.

Beliau menegaskan, selama tujuh bulan memimpin negara, beliau tidak pernah meminda perjawatan institusi kehakiman.

“Apa sahaja yang dikemukakan oleh jawatankuasa membawa kepada ketua hakim negara dihantar kepada saya, saya ikut proses sahaja, tidak ada satupun yang saya pinda. Melainkan kalau hakim itu punyai rekod yang mungkin dipertikai,” katanya.

@malaysiatribune

‘Saya tidak pergunakan perundangan negara untuk politik dendam’ – PM @anwaribrahimofficial #malaysiamadani #pemimpinadil

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya tata kelola serta pentadbiran di negara ini dibersihkan tanpa wujud unsur negatif malah politik negara perlu terhindar daripada adu domba atau merendahkan martabat pihak lain.

“Politik itu penting, saya juga mengasaskan dan memimpin parti politik dan antara parti yang bergabung,” katanya dan menambah mencari kelemahan pihak lain merupakan politik tidak matang.

Show More

Related Articles

Back to top button