Zahid kongsi kisah bertemu Najib di penjara
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkongsi cerita berjumpa dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Penjara Kajang.
Menurut Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, beliau sempat makan bersama bekas Ahli Parlimen Pekan itu selama 1 jam 30 minit dengan membawa sekali makanan kegemaran Najib.
“Apabila saya pergi, saya ditemani Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan selepas 30 minit saya dibenarkan bersama Najib untuk pertemuan empat mata selama 1 jam 30 minit.
“Namun, apa yang saya bincangkan tidak perlulah saya nyatakan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU 2023) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Dedah Ahmad, Najib yang ketika ini sedang menjalani hukuman penjara penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sedang melanjutkan pengajian lulusan doktor falsafah (PhD) di penjara tersebut.
“Sekarang beliau sedang meneruskan pengajian PHd (Ijjazah Doktor Falsafah) dalam Penjara Kajang,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah
Tambah Ahmad, nasib Najib tetap akan dibela agar keadilan dapat diberikan kepadanya.
“Insya-Allah, komitmen Majlis Tertinggi (MT) yang mendapat mandat daripada rakan-rakan di peringkat bahagian dan cawangan…yakinlah bahawa majlis tertinggi terus komited untuk membela Najib Razak supaya diberikan keadilan,” ujarnya lagi.