Politik

Suara Wanita perlu diangkat ke peringkat tertinggi parti – Shahaniza

BANGI – Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mahu beliau diberi peluang meneruskan agenda pemerkasaan wanita dalam UMNO.

Berbekalkan visi dan pengalaman lebih dua dekad dalam pergerakan Puteri UMNO, beliau menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi pada pemilihan yang akan datang.

Shahaniza berkata, atas semangat dan impian itu jugalah beliau mahu melihat suara wanita diangkat ke peringkat tertinggi dalam parti sekaligus memastikan kaum hawa tidak ketinggalan dalam dasar parti pada masa akan datang.

“Saya kira UMNO memerlukan bukan sahaja idea dan pandangan daripada golongan wanita, tetapi gerak kerja bersama dengan pemimpin wanita.

“Sekiranya pemimpin wanita diberi peluang, ia akan memberikan satu impak baharu dan lebih bertenaga kepada UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan Umno Malaysia Peringkat Negeri Selangor 2023 di Shah Alam Convention Centre, kelmarin.

Shahaniza berkata beliau tidak melihat soal gender menjadi isu dalam penentuan kemenangan kerana penerimaan terhadap calon wanita mempunyai signifikan yang besar kepada parti.

“Bahkan saya lihat kaum lelaki tidak lagi memilih calon berdasarkan gender tapi kredibiliti yang ada pada calon,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, calon wanita perlu meletakkan merit diri yang setanding apabila bermain di gelanggang pemimpin lelaki.

Malah beliau juga yakin calon-calon wanita yang bertanding mampu menjadi ‘team player’ yang baik bersandarkan kredibiliti dan sifat setia pada parti yang menjadi tunjang kepimpinan.

“Saya kira ketujuh-tujuh calon wanita yang menawarkan diri kali ini memiliki kekuatan dan kelebihan masing-masing yang saya kira boleh memberikan kelebihan kepada UMNO sekiranya mereka terpilih sebagai MKT.

“Tak ramai pun daripada 95 calon, tujuh wanita dan kalau boleh pilih semua, kerana semua mempunyai keistimewaan sendiri,” katanya.

Ditanya sama ada wujud pengaruh ‘kem-kem’ tertentu yang akan menjadi penentu dalam pemilihan kali ini, Shahaniza berpandangan ia bergantung kepada kepercayaan dan hubungan di peringkat atas sehingga ke akar umbi.

“Kita open secret ada kem-kem tertentu nak nafikan (calon tertentu) kerana realitinya memang ada. Tetapi saya kira ia tidak akan menjadi satu perpecahan kepada UMNO,” ujarnya.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.

Manakala Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.

Show More

Related Articles

Back to top button