Politik

Usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO tidak boleh dicabar

KUALA LUMPUR – Kelulusan terhadap usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi dalam UMNO diputuskan secara sah dan muktamad mengikut fasa-fasa dalam perlembagaan parti serta tidak boleh dicabar.

Presiden UMNO, Datu Seri Zahid Hamidi berkata, usul yang dikemukakan oleh wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin itu telah melalui undian suara dan menang undian sebelum sesi penggulung perbahasan dimulakan hari ini.

Beliau berkata, kelulusan pengundian usul itu yang dilakukan secara tertutup di Dewan Merdeka diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin selaras Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

“Kita merasakan bahawa tambahan usul iaitu Perkara 8 daripada Usul Ucapan Presiden itu sepenuhnya mengikuti beberapa fasa yang terdapat dalam perlembagaan.

“Maka keputusan tadi adalah keputusan muktamad, sesuai dengan apa yang saya katakan dalam wawancara atau kenyataan media bahawa kami berdua (bersama Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan) menyerahkan soal ini kepada perwakilan.

“Dan perwakilan yang diabsahkan adalah perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO dan dilaksanakan mengikut fasa dalam perlembagaan parti,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada usul tambahan yang diluluskan itu boleh dibatalkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Ditanya mengenai dakwaan wujudnya perwakilan tidak sah yang dibawa masuk ke dalam dewan untuk memberi kemenangan kepada usul itu, Ahmad Zahid menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO

“Jika ada berita yang mengatakan ada perwakilan tidak sah di dalam dewan, atau ada perkara yang tidak diikuti oleh pengerusi tetap, perkara itu telah mendapat nasihat daripada penasihat undang-undang UMNO sendiri yang merupakan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO.

“Tentunya sebagai pengamal undang-undang, mereka itu lebih tahu bahawa perjalanan mesyuarat dan perkara-perkara yang perlu diikuti dibuat mengikut apa yang telah termaktub,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button