
PRK Kuala Kubu Baharu: DAP optimis pertahan kerusi
HULU SELANGOR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke optimis calon DAP yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Menurut Loke, latar belakang pendidikan dan pengalaman Sock Tao yang pernah berkerja dalam beberapa kementerian sebelum ini bakal menjadi faktor yang boleh menawan hati pengundi.
“Mempunyai latar belakang yang baik dengan pernah berkerja di pelbagai kementerian ini merupakan salah satu faktor yang saya rasakan dapat yakinkan pengundi.
“Pang bukan sahaja akan menjadi ADUN malah beliau akan jadi jambatan antara penduduk Kuala Kubu Baharu dengan Kerajaan Selangor serta Kerajaan Persekutuan,” jelasnya di sini hari ini.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan tiga parti politik dan seorang calon bebas.
Pang Sock Tao yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dijangka bakal menerima saingan sengit daripada wakil Perikatan Nasional (PN) yang juga pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut.
Dua lagi calon pula mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin serta calon bebas, Nyau Ke Xin.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mendiang menewaskan semua pencabarnya dengan majoriti 4,119 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding esok hingga 11.59 malam, 10 Mei.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala undi awal pada 7 Mei.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |