Sanusi pertahan kenyataan Pulau Pinang milik Kedah, sedia ke mahkamah
ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi mempertahankan dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Malah beliau juga bersedia disiasat dan ke mahkamah bagi mempertahankan kenyataan itu.
“Biar polis siasatlah kalau depa (mereka) lapor polis. Orang ni takut pasal dia tak ada sandaran (bukti), saya ada sandaran banyak.
“Kita jumpa di mahkamah, saya bersedia sampai ke situ di mana saja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Kedah di perkarangan Stadium Darul Aman di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang mahu membawa dakwaan Menteri Besar Kedah itu ke mahkamah.
Kon Yeow dilaporkan berpandangan, sebarang isu dan tuntutan ingin dikemukakan Muhammad Sanusi seharusnya dibawa ke mahkamah.
Beliau juga sedia mengambil pendekatan mendengarnya secara ‘serius’ melalui tindakan undang-undang.