KDN anjur sesi taklimat Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Pindaan) 2023
PUTRAJAYA – Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (PK-KDN) hari ini menganjurkan sesi perjumpaan dan taklimat bagi pihak industri penerbitan dan pencetakan al-Quran.
Menurut Setiausaha Bahagian PK-KDN, Nik Yusaimi Yussof, taklimat tersebut diadakan bertujuan memberikan penerangan mengenai Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Pindaan) 2023.
“Pihak industri menyambut baik keputusan Kerajaan meluluskan Akta yang telah berkuatkuasa pada 1 September 2023 bertujuan untuk memelihara kemuliaan ayat al-Quran.
“Pindaan ini akan menambahbaik faedah kepada pihak industri dan masyarakat melalui kawalan terhadap pencetakan, pengimportan, penjualan, penerbitan dan pengedaran teks dan bahan al-Quran di negara ini,” kata Nik Yusaimi dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Pindaan tersebut antara lain merangkumi lima initipati iaitu:
a) Tulisan Braille dikawal di bawah Akta supaya menepati penulisannya dan bebas dari kesalahan;
b) Kadar denda dan tempoh hukuman dinaikkan kepada RM50,000 atau 5 tahun penjara;
c) Peruntukan kuasa siasatan yang lebih menyeluruh kepada Penguatkuasa KDN;
d) Peruntukan kompaun bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta; dan
e) Pemantapan pengurusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ).
“Pihak industri merupakan rakan strategik KDN dalam usaha menggalakkan masyarakat memiliki al-Quran yang diperakukan KDN dan menjayakan misi ‘Ke Arah Sifar Al-Quran Tiada Perakuan KDN’.
“KDN dan pihak industri akan bekerjasama dengan lebih erat dalam menjaga kemuliaan dan kesucian al-Quran,” kata Nik Yusaimi lagi.
Untuk rekod, pihak industri adalah terdiri daripada penerbit al-Quran dan pemegang Lesen Mesin Cetak al-Quran (LMCQ).
Sehingga kini, terdapat 965 jenis perakuan al-Quran dan 45 pemegang LMCQ di Malaysia.
Nik Yusaimi kemudiannya menambah, masyarakat sering terkeliru dengan memilih al-Quran yang mempunyai teks tulisan Romanise (selain Bahasa Arab) yang dianggap mudah untuk dibaca.
Walaubagaimanapun, al-Quran Romanise ini tidak diperakukan kerana dikhuatiri mengakibatkan kesalahan sebutan dan bacaan yang membawa maksud tidak tepat sebagaimana ayat tersebut diturunkan.
Jelas Nik Yusaimi, teks dan bahan al-Quran yang perlu diperakukan oleh KDN adalah mushaf yang mengandungi 1 juzu’ atau lebih, dengan ciri-ciri penulisan yang dibenarkan oleh LPPPQ iaitu menggunakan Rasm Uthmani, bebas dari kesalahan, mempunyai cap perakuan LPPPQ dan pelekat hologram KDN.
“KDN menyeru supaya orang ramai memberikan kerjasama untuk menyalurkan maklumat berkaitan teks atau bahan al-Quran yang tiada perakuan KDN serta bercanggah dengan Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 (Pindaan) 2023 dengan menghubungi pihak Kementerian Dalam Negeri di talian 03-8000 8000 / 8889 3145, emel aduanpk@moha.gov.my atau melalui laman web www.moha.gov.my,” katanya lagi.