Berita SemasaSukan

BWF tidak setuju kurangkan jumlah kejohanan

KUALA LUMPUR – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengurangkan jumlah kejohanan dalam kalendar penganjuran badan sukan itu.

Presidennya, Poul-Erik Høyer Larsen bagaimanapun berkata, apa yang perlu dilakukan ialah mewujudkan sistem kejohanan ‘ladder’ dengan menyusun semula semua pertandingan mengikut keutamaan.

“Pada pandangan saya, kita sudah kukuh dan sudah boleh mulakan perbincangan kejohanan mana perlu diberikan keutamaan dan kejohanan mana diletakkan dalam tier dua dan tier ketiga, saya juga percaya ini akan menyediakan generasi muda untuk benar-benar mendapat pendapatan.

“Saya rasa kita patut bincang bagaimana kita boleh laksanakan (sistem) ladder dan fokus. Saya tidak mahu mengurangkan kejohanan, saya mahu membuat lebih banyak kejohanan supaya kita boleh membuat sistem ladder, itu yang saya percaya,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan bekas pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang mencadangkan supaya BWF mengurangkan jumlah kejohanan dalam setahun jika kita mahu melahirkan pemain berkualiti seperti Lin Dan dari China.

Høyer Larsen berkata, Chong Wei bukan bekas pemain pertama yang mencadangkan perkara terbabit.

“Kita juga mahu mendengar pendapat daripada pemain berpengalaman yang lain,” kata pemenang pingat emas perseorangan lelaki edisi 1996 Atlanta itu.

Terdahulu, Høyer Larsen turut menjadi saksi kepada majlis menandatangani MoU antara Badminton Asia dan BAM dan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

MoU ditandatangan oleh Presiden Badminton Asia, Kim Jong Soo and Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Show More

Related Articles

Back to top button