Politik

UMNO-BN akan tersungkur kerana ‘dosa’ kepada parti

KUALA LUMPUR – Dosa-dosa ‘perselingkuhan’ bersama Pakatan Harapan (PH) akan menjadi pengajaran kepada pemimpin tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang bakal dihumban oleh ahli-ahli parti itu di peringkat akar umbi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Demikian dakwa Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang yakin bahawa gabungan ‘parti seteru bertukar sekutu’ itu hanya menunggu masa untuk menerima balasan daripada janji-janji yang telah dikhianati.

Bahkan beliau juga yakin bahawa kerusi-kerusi yang ditandingi BN pada PRN akan datang, terutama di kawasan majoriti Melayu akan disapu bersih oleh Perikatan Nasional (PN).

“Daripada maklumat yang saya terima daripada rakan-rakan dalam UMNO, mereka sangat marah, tetapi tidak berani untuk tampil menyuarakan. 

“Jadi mereka akan tunjukkan sabotaj mereka dalam PRN akan datang. Mereka akan undi PN, percayalah. 

“Akar umbi UMNO dan BN akan mengundi PN kerana mereka tidak boleh menerima perselingkuhan yang ada pada hari ini antara BN dan PH,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat laporan polis susulan tindakan SPRM yang mengaitkan nama Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam pertuduhan ke atas seorang usahawan di IPD Dang Wangi di sini hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal juga yakin UMNO akan ‘dimalukan’ sekali lagi dengan mendapat kerusi paling sedikit pada PRN akan datang terutama di Selangor.

“Parti komponen seperti MCA dan MIC langsung tidak mendapat kerusi termasuk di Selangor sendiri. Berapa banyak pula ketua-ketua bahagian UMNO yang akan dapat kerusi-kerusi mereka? Pergilah minta dengan DAP, Amanah dan PKR,’’ katanya.

Ahli Parlimen Machang itu juga mendakwa akan berlaku pemberontakan dalaman dalam UMNO dan BN yang akan menumbangkan parti itu dari dalam.

“Kami di PN sedia membantu untuk men’talkin’ UMNO di Selangor, Kelantan, Terengganu dan Kedah. Insyallah,’’ katanya. 

Katanya, peralihan sokongan rakyat dari BN kepada PN boleh dilihat dengan jelas dalam majlis-majlis rumah terbuka Aidilfitri yang jelas menunjukkan rakyat memberi sokongan kuat kepada PN.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan PN di ambang perpecahan, Ahmad Fayshal berkata, kata-kata jelas menunjukkan Ahmad Zahid semakin gentar dan cemburu dengan perpaduan dalam PN.

Show More

Related Articles

Back to top button