
Tiada pertandingan ‘top two’, RoS akan bertemu wakil UMNO minggu depan
CYBERJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) akan mengadakan pertemuan dengan wakil parti UMNO pada minggu hadapan berhubung usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden
Laporan Berita Harian menyebut Pengarah RoS, Nawardi Saad sebagai berkata, setakat setakat ini pihaknya belum menerima laporan penuh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, selain tidak memaklumkan masa dan tarikh pertemuan dijangka diadakan.
“Setakat hari ini RoS belum lagi menerima laporan penuh (PAU), namun minggu hadapan RoS akan adakan pertemuan dengan UMNO,” kata Nawardi dalam laporan tersebut.
Dalam pada itu, RoS turut sedang menyiasat aduan dibuat dua ahli UMNO mengenai usul terbabit yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan parti tersebut.
“RoS ambil maklum perkara itu (aduan), kita sedang siasat,” katanya lagi.
Sabtu lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, beliau bersama barisan peguam parti itu akan mengadakan pertemuan dengan RoS dalam masa terdekat.
Ahmad berkata, pertemuan itu bagi membuat penjelasan berhubung proses PAU 2022 dan pengundian dijalankan secara teratur dan mengikut peraturan serta perlembagaan parti.
Kenyataan beliau itu susulan tindakan dua ahli UMNO mendesak RoS meneliti laporan persidangan PAU 2022 mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang, yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan parti.
Aduan itu dibuat ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir, dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune