Malaysia akan hantar delegasi bincang kesan pelaksanaan EUDR terhadap minyak sawit Malaysia – TPM Fadillah
PUTRAJAYA – Kerajaan akan menghantar delegasi ke Eropah bagi membincangkan mengenai pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pertemuan dengan wakil Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Belgium itu antara lain akan membincangkan mengenai kesan peraturan baharu itu terhadap minyak sawit keluaran Malaysia.
“Misi ke Brussels adalah untuk jumpa kepimpinan EU termasuk pihak industri bagi adakan sesi libat urus untuk mendapatkan penjelasan sebenarnya tentang pengenalan EUDR.
“Tidak akan ada tindakan semberono di mana bila produk kita sampai di sana ia akan disekat dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka anjuran Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria, di sini hari ini.
Selain itu, pertemuan itu juga katanya penting bagi menjalinkan hubungan persefahaman antara negara.
“Malaysia juga memberi komitmen bahawa pematuhan kepada alam sekitar dan semua standard antarabangsa termasuk pekerja dengan mewujudkan skim pensijilan minyak sawit mampan Malaysia (MSPO).
“Ini bagi memastikan kelestarian alam sekitar agar tidak akan ada lagi pembukaan hutan-hutan simpan kecil… diceroboh dan sebagainya.
“Sebab itu pentingnya misi hujung bulan ini, diharapkan kita dapat penjelasan yang baik dan komitmen mereka (EU) supaya Malaysia tidak akan di rating sebagai negara berisiko tinggi, tidak sepatutnya berlaku sedemikian apatah lagi kepada pekebun kecil,” katanya lagi.