Berita Semasa

Istiadat pertabalan YDPA pada 20 Julai ini

PUTRAJAYA – Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ditetapkan berlangsung pada 20 Julai ini bertempat di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau dilantik selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara sempena istiadat pertabalan akan melaksanakan beberapa acara dengan titah perkenan baginda.

Sidang media bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

“Sebagaimana kita telah sedia maklum, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, pada 31 Januari lalu.

“Acara-acara tersebut termasuk Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 18 Julai ini, bertempat di Masjid Negara, Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, Khutbah Khas dan Solat Jumaat akan diadakan pada hari berikutnya di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

“Pada hari yang sama, Majlis Santapan Diraja akan diadakan pada jam 8.30 malam, di Istana Negara, Kuala Lumpur,” katanya.

Tambah beliau, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan untuk melawat ke Hospital Orang Asli Gombak pada hari Selasa, 23 Julai ini.

“Acara terakhir adalah Majlis Jamuan Teh Diraja pada hari Sabtu, 27 Julai ini, pukul 3 petang, di Istana Negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII adalah pada 3 Jun depan dan tarikh tersebut telah diwartakan sebagai cuti umum.

“Walau bagaimanapun, baginda telah mengampuni limpah perkenan supaya acara-acara Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda ditangguhkan dari bulan Jun ke bulan September,” ujarnya lagi.

Katanya, ia adalah untuk memberi keutamaan kepada istiadat pertabalan dan acara-acara lain sempena istiadat pertabalan yang akan berlangsung pada bulan Julai ini.

Sementara itu, Pameran Raja Kita akan dibuka untuk rakyat jelata pada 25 Julai ini, di Muzium Negara.

Show More

Related Articles

Back to top button