Politik

Pembangkang belum kemukakan sebarang cadangan – TPM Fadillah

Berkenaan isu pengagihan peruntukan Ahli Parlimen

PUTRAJAYA – Kerajaan masih belum menerima sebarang cadangan pihak pembangkang mengenai isu pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan rundingan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Kita masih menunggu cadangan daripada mereka, tapi mereka (pembangkang) kata tidak perlu (kemukakan) cadangan (pula).

“(Mereka) kena ingat bahawa ini bukan kerajaan PH, ini adalah kerajaan perpaduan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua (MMN2), di sini hari ini.

Fadillah sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, kerajaan perpaduan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meletakkan sebarang syarat kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan agihan peruntukan disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau yang ditugaskan berunding bersama wakil pembangkang berhubung isu itu berkata, kerajaan hanya mahu pembangkang mengemukakan tawaran rasmi dalam urusan berkenaan seperti dilakukan ketika pentadbiran kerajaan diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Kata Fadillah lagi, cadangan itu adalah perlu untuk menentukan kerjasama dalam memastikan kestabilan politik negara.

“Jadi kita perlu minta mereka kemukakan cadangan, bagaimana dengan peruntukan itu kita boleh jalin kerjasama ke arah memastikan negara kita lebih stabil dari segi politik. Itu yang kita nak,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button