Berita Semasa

Sanusi akan iringi Sultan Kedah ke Rumah Terbuka Madani

PETALING JAYA – Menteri Besar, Sanusi Md Nor akan mengiringi Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di Alor Setar hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Sanusi, Muhamad Mat Yakim dalam pesanan ringkas melalui WhatsApp.

“MB dijadual hadir Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, esok. MB sampai 10.40 pagi,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Keputusan itu menyusul kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan Sultan Kedah berkenan berangkat ke rumah terbuka anjuran kerajaan persekutuan di Hotel Raia, Alor Setar mulai 10 pagi hingga 2 petang.

“Kerajaan persekutuan menjunjung kasih atas limpah perkenan Sultan Kedah mencemar duli ke majlis itu.”

Semalam, Sanusi dilaporkan berkata, beliau akan hadir bersama perdana menteri untuk mengiringi Sultan Kedah, jika Tuanku berangkat walaupun belum menerima jemputan rasmi atas kapasitinya sebagai menteri besar.

“Saya dimaklumkan mereka menyerahkan jemputan rasmi kepada Sultan Kedah. Justeru, sekiranya Tuanku Sultan berkenan menerima jemputan itu, maka saya akan ke sana juga. Tetapi, jika Tuanku tidak berangkat, saya akan pertimbang semula (sama ada akan hadir). Saya bercakap daripada sudut protokol.”

 

Show More

Related Articles

Back to top button