
Laporan akhir SSPA dipercepatkan, akan dibentang dua bulan lagi – PM
PUTRAJAYA – Laporan akhir Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) siap dalam tempoh dua bulan lagi sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri, maklum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan hari ini, Anwar berkata, laporan tersebut akan dipercepatkan selepas ia mendapat persetujuan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Sudah saya mulakan mesyuarat penyelarasan gaji penjawat awam dengan KSN serta KPPA setuju untuk percepatkan jadi alhamdulillah lebih cepat daripada yang saya jangka keputusannya.
“Paling lewat dalam dua bulan ini baru dibentangkan dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri untuk kelulusan muktamad,” katanya.
Pada Belanjawan 2024, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat bermula 2025.
Kajian SSPA yang menumpukan kepada aspek kenaikan gaji dan elaun sektor awam itu merupakan inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam seiring dengan aspirasi Membangun Malaysia Madani
Mengulas dengan lebih lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan tidak akan melengahkan lagi pelaksanaan SSPA.
“Sebab itu saya mulakan. Saya tidak mahu ada yang mengatakan (pelaksanaan SSPA) ini dilengah-lengahkan. Sudahlah 12 tahun menunggu.
“Kemudian ada 15 jawatankuasa baru nak putus. Tidak. Kita ambil ‘fast track’ dan kalay tidak selesai juga tukar Perdana Menteri,” ujarnya secara berseloroh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |