Lelaki putus tangan akibat main mercun buatan sendiri
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki putus pergelangan tangan kiri manakala beberapa jari kanannya juga hancur akibat letupan mercun yang diubah suai dalam satu kejadian di Kampung Gong Pak Damat di Kuala Nerus awal pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, letupan berlaku ketika mangsa yang berusia 27 tahun itu sedang membancuh sendiri bahan letupan itu.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika mangsa membancuh mercun buatan sendiri menggunakan mercun bola dan paip polivinil klorida (PVC).
“Ia mengakibatkan letupan besar dan mangsa yang cedera di bahagian badan dan kedua belah tangan telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan ia kes kedua berlaku di Terengganu tahun ini,” katanya.
Tambahnya, pihak polis kini sedang giat mengesan pengedar dan penjual mercun berkenaan bagi membantu siasatan.
“Buat masa sekarang, usaha mengesan pengedar dan penjual mercun kepada mangsa sedang dijalankan,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, Rohaimi memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang didapati mengedar atau menjual bunga api dan mercun tanpa permit dengan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya lagi.