Berita Semasa

2,000 golongan OKU disantuni sempena Hari Istimewa Sains 2024

KUALA LUMPUR – Seramai 2,000 golongan orang kurang upaya (OKU) diraikan sempena Hari Istimewa Sains (SSD) anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertempat di Pusat Sains Negara, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, golongan OKU dilibatkan sama adalah bertujuan menggalakkan dan meraikan penglibatan OKU dalam aktiviti pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal ketika sidang media di Pusat Sains Negara.

“Program ini kita tidak hadkan kepada golongan biasa sahaja, tetapi kita galakkan golongan OKU ini supaya mereka juga berhak mendapat pendedahan dan memahami ilmu terutama tentang sains,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas program perasmian Hari Istimewa Sains 2024 di Pusat Sains Negara, di sini.

Turut hadir sama Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Dr Sharmila Mohamed Salleh dan Pengarah Pusat Sains Negara, Mohammad Fuad Rahman.

Dalam pada itu, program tersebut dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu katanya, pelbagai aktiviti menarik dirancang termasuk demonstrasi sains, persembahan anak-anak OKU, bengkel permainan sensori, aktiviti kreatif hands-on serta pameran dari agensi dan organisasi berkaitan OKU.

“Aktiviti-aktiviti ini direka khas agar bersesuaian dengan keupayaan peserta seperti aktiviti melibatkan kemahiran sensori dan kognitif,” katanya.

Ujarnya, MOSTI menyokong penuh terhadap hak kepada semua lapisan masyarakat termasuk OKU untuk menerima pendidikan sepanjang hayat khususnya dalam bidang STI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button