Politik

Permohonan Zuraida kembali sertai Bersatu ditolak

PETALING JAYA – Permohonan bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk kembali menyertai Bersatu ditolak.

Menurut Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, permohonan Zuraida ditolak adalah kerana beliau enggan melepaskan jawatan menteri, selepas beliau keluar Bersatu, walaupun pelantikan dilakukan dengan kuota parti itu.

“Keputusan menolak permohonan beliau adalah sebulat suara,” katanya memetik laporan FMT.

Zuraida keluar daripada Bersatu pada Mei tahun lalu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Beliau menyertai Bersatu selepas dipecat dari PKR berikutan penyertaannya dalam Langkah Sheraton pada 2020.

Pada PRU15, Zuraida bertanding di parlimen Ampang atas tiket PBM tetapi tewas pada calon Pakatan Harapan, Rodziah Ismail dengan hanya memperoleh 4,589 undi dalam pertandingan 9 penjuru manakala Rodziah mendapat 29,681 undi.

Zuraida kemudian dipecat dari PBM pada Disember lalu bersama 10 yang lain selepas gagal menjawab surat tunjuk sebab.

Bulan lalu, Zuraida dipetik berkata beliau tidak berhasrat bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri sebaliknya akan menyokong calon gabungan itu.

Kini beliau menyertai NGO Muafakat Nasional yang diketuai oleh Tan Sri Annuar Musa.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button