Politik

Pemilihan UMNO: Jangan merajuk jika kalah – Mahdzir

KUALA NERANG – Calon UMNO yang bertanding pada pemilihan hari ini dinasihatkan untuk terus setia kepada parti tanpa mengira keputusan sama ada menang atau tidak.

Menurut Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, calon yang kalah tidak perlu merajuk atau mengambil tindakan keluar parti.

“Sudah tentu dalam mana-mana pemilihan di bawah proses demokrasi, ada yang menang dan yang kalah, tetapi bagi saya yang menang tidak ambil semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Kita bersatu semula, fokus untuk membina semula parti dan insya-Allah masa depan yang cerah untuk parti,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mahdzir yang menang tanpa bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, beliau menyerahkan kepada 190,000 perwakilan UMNO di seluruh negara untuk menentukan calon mana yang perlu dipilih di peringkat bahagian dan Pusat.

“Saya sudah berpuluh tahun bersama parti dan sebagai orang parti, saya akan kekal berkhidmat kepada parti tanpa mengira jawatan atau tidak. Kita perlu ada semangat tinggi untuk berkhidmat kepada parti,” katanya.

Beliau berkata, semua calon yang bertanding perlu kembali bertaut selepas pemilihan ini untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Kita ucapkan tahniah kepada yang menang dan bagi yang tidak menang, kekal setia dalam parti, tidak perlu rasa pahit, merajuk malah keluar parti dan sebagainya.

“Kita ucapkan tahniah kepada yang menang dan bagi yang tidak menang, kekal setia dalam parti, tidak perlu rasa pahit, merajuk malah keluar parti dan sebagainya.

“Setiap bahagian terutama di Kedah perlu mengumpulkan kembali kekuatan dalam parti untuk dicantumkan di seluruh negeri sebelum PRN yang dijangka pada Jun atau Julai nanti,” katanya lagi.

Terdahulu, Mahdzhir menyertai lebih 700 perwakilan di bahagian Padang Terap menunaikan tanggungjawab mereka pada pemilihan parti di Padang Kerasak di sini, hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button