Syarikat dari Korea, Jepun, China tunjuk minat melabur dalam SG4
BANGI – Syarikat dari Korea Selatan, Jepun dan China menunjukkan minat untuk melabur dalam syarikat SG4 Group Sdn Bhd iaitu syarikat yang ditubuhkan hasil kerjasama Kumpulan Kerajaan Empat Negeri (SG4).
Menurut Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, perkembangan pelaburan itu kini di peringkat perbincangan membabitkan kesemua empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Kerjasama SG4 adalah peningkatan kesejahteraan hidup rakyat menerusi pentadbiran yang berintegriti dan cekap, kewangan yang kukuh, sosioekonomi yang mampan, serta pembangunan lestari yang berimpak tinggi.
“Secara langsung, agenda ini akan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya dalam sidang media selepas Sidang Kemuncak SG4 di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Sidang Kemuncak SG4 menjadi saluran bagi negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) memperkasa kerjasama negeri-negeri anggota ke arah pentadbiran yang berintegriti dan cekap, kewangan yang kukuh, sosioekonomi yang mampan serta pembangunan lestari yang berimpak tinggi.
Mengulas mengenai struktur organisasi syarikat SG4 Group Sdn Bhd, Ahmad Samsuri menjelaskan ia masih di peringkat perbincangan semua pihak berkepentingan.
Ditanya mengenai potensi pelaburan yang bakal dijana hasil pelaburan menerusi SG4, Ahmad Samsuri berkata, perkara tersebut akan dimaklumkan sekiranya syarikat tersebut berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Jumlah potensi ini boleh jadi dan boleh jadi tidak jadi. Yang penting apabila kita realisasikan. Jadi saya tidak mahu jadi seperti sesetengah pihak yang potensi pun perlu diuar-uarkan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, pada masa ini, SG4 akan memberi tumpuan untuk membawa masuk pelaburan empat negeri anggotanya sebelum membuka penyertaan kepada negeri-negeri lain.