Imigresen patahkan cubaan sindiket seludup PATI
CYBERJAYA – Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia menerusi operasi khas ‘Ops Gelombang 2’ yang dijalankan di beberapa lokasi di Kelantan pada 6 Mac lepas.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, pihaknya turut berjaya menahan seramai 15 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi tersebut.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, operasi tersebut dilaksanakan hasil kejayaan terdahulu yang telah dijalankan pada Oktober 2022.
“Dalam serbuan di kawasan sekitar Jeli dan Gua Musang, pasukan operasi telah berjaya menahan seramai tiga orang lelaki warganegara Malaysia berumur antara 39 hingga 60 tahun yang bertindak sebagai ‘Transporter’ bagi sindiket ini.
“Turut ditangkap, 15 orang PATI berumur antara 24 hingga 54 tahun yang terdiri daripada 12 orang lelaki dan tiga orang perempuan warganegara Indonesia,” kata Khairul Dzaimee dalam kenyataan tersebut.
Hasil risikan mendapati, modus operandi sindiket itu adalah masuk melalui laluan udara ke Thailand daripada Indonesia dan menyeludup melintasi sempadan Malaysia-Thailand melalui Sungai Golok.
“Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6000 hingga RM7000 bagi setiap PATI untuk masuk ke Malaysia.
“Kesemua PATI itu kemudian akan di bawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah.
“Bagi PATI wanita pula, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks,” tambahnya.
Operasi yang bermula pada pukul 3.15 pagi itu disertai oleh seramai enam orang pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan dibantu oleh pegawai-pegawai JIM Kelantan.
Kesemua PATI yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Manakala tiga lelaki tempatan yang turut ditahan dalam operasi tersebut akan dihadapkan ke mahkamah bagi perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan.