Berita Semasa

Bank Islam tawar moratorium untuk mangsa banjir

BANGI – Bank Islam mengumumkan pemberian moratorium sehingga enam bulan bagi kemudahan pembiayaan perumahan, pinjaman peribadi dan kenderaan bagi pelanggan yang terjejas dengan bencana banjir baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Islam hari ini, kemudahan moratorium itu turut disediakan kepada pelanggan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai meneruskan Program Prihatin Banjir untuk membantu para pelanggan pembiayaan yang terjejas

“Selain itu, Bank Islam juga tidak akan mengenakan sebarang caj bagi penggantian kad kredit-i dan debit-i serta buku cek yang rosak atau hilang ekoran bencana yang berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, permohonan penangguhan bayaran ansuran bulanan sehingga tempoh enam bulan itu tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, kemudahan Bantuan Bencana (DRF) untuk industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khusus untuk pelanggan pembiayaan Perniagaan-i yang terkesan turut disediakan.

Di bawah kemudahan ini, perusahaan mikro yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM150,000.

“Pembiayaan berjumlah RM700,000 disediakan untuk PKS dengan tempoh tujuh tahun, termasuk moratorium selama enam bulan.

“Bantuan kewangan ini dibuka kepada semua kemudahan kredit dengan bayaran berjadual atau secara kontrak, khususnya Kemudahan Pembiayaan Berjangka, Kemudahan Kredit Pusingan & Aliran Tunai serta Kemudahan Perdagangan,” katanya.

Permohonan Program Prihatin dan DRF boleh dibuat di cawangan Bank Islam terdekat dalam tempoh tiga bulan selepas kejadian dan boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari pautan ini.

Show More

Related Articles

Back to top button