Elak pembaziran, TPM saran YKN selaras bantuan sepanjang Ramadan
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat mahupun penderma untuk menyelaraskan agihan bantuan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi mengelak berlakunya pembaziran sepanjang bulan Ramadan.
Beliau berkata, menerusi kaedah itu sumbangan juadah berbuka atau persiapan menyambut Aidilfitri dapat disampaikan terus kepada golongan sasar.
“Bulan Ramadan ini kita tahu terlalu banyak yang ingin salurkan bantuan, namun ada kalanya sumbangan yang diberikan sama ada waktu sahur, berbuka mahupun moreh adakalanya berlebihan. Jadi saya sarankan kepada syarikat atau NGO ini yang mahu menyumbang, kita selaraskan melalui YKN, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Ini kerana kita mahu supaya sumbangan itu sampai terus kepada golongan sasar yang sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Singgah Moreh yang diadakan di Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, di sini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, YKN juga mengalu-alukan syarikat korporat, NGO atau individu untuk bersama yayasan itu bagi menyumbang wang tunai, barangan atau mengadakan program kerjasama strategik bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik.
Katanya, setiap sumbangan tunai akan diberikan resit pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Dalam pada itu, mengulas mengenai masalah gelandangan di negara ini, beliau berkata jumlahnya tidak pernah menurun sejak dulu lagi, namun ia tidak meningkat secara mendadak.
Katanya, antara faktor terbesar kepada masalah itu adalah kehilangan pekerjaan, hadapi masalah kesihatan mental dan sakit berpanjangan.
“Oleh itu tidak boleh lagi bekerja secara silo, sebaliknya akan bekerjasama dengan kementerian dan jabatan lain bagi menyelesaikan masalah itu.
“Kerana ia bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, NGO serta institusi keluarga juga harus bantu kerajaan dalam hal ini,” katanya.