Berita Semasa

TH hantar 600 petugas ibadah haji tahun ini

SEPANG – Seramai lebih 160 orang petugas Operasi Haji Tanah Suci dari Lembaga Tabung Haji (TH) diterbangkan ke Arab Saudi hari ini bagi membuat persiapan awal bagi operasi musim haji tahun 2024.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, penerbangan kumpulan itu merupakan siri kedua daripada keseluruhan 600 petugas yang ditugaskan untuk memasti kelancaran urusan para jemaah Malaysia tahun ini.

Katanya, sektor operasi terbabit termasuk pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan lain-lain pusat perkhidmatan.

“Keberangkatan petugas haji dilakukan secara berperingkat menerusi beberapa siri penerbangan di mana hari ini merupakan pelepasan kumpulan kedua melibatkan petugas kebajikan, perubatan, media dan agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kesemua para petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan ini telah mengikuti latihan komprehensif bagi memastikan mereka bersedia dan cukup terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab dengan cekap untuk menyantuni 31,600 bakal haji,” katanya pada Majlis Pelepasan Petugas Haji yang diadakan di Movenpick Hotel & Convention Centre, di sini hari ini.

Dalam pada itu, penerbangan kumpulan kedua itu turut disertai 14 pengamal media.

Katanya, penerbangan kumpulan pertama petugas telah mula berlepas pada Selasa lalu dan akan diikuti dengan tiga kumpulan besar iaitu pada hari ini (2 Mei), 6 Mei dan 9 Mei.

Selain itu, penerbangan pertama jemaah haji negara pula akan bermula pada 9 Mei 2024 manakala penerbangan terakhir adalah pada 9 Jun 2024.

Tahun ini, hari Wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka jatuh pada 15 Jun 2024.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji berkenaan yang melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.

“Lapan buah stesen berlepas akan digunakan untuk para jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya di Kota Bharu, Kuala Kedah, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button