
Penduduk terjejas banjir akibat projek ECRL di Sungai Chinchin dipindah sementara
SHAH ALAM – Penduduk di 21 rumah di Kampung Sungai Chinchin, Gombak akan dipindahkan sementara susulan masalah banjir yang berpunca daripada pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di situ.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu diputuskan selepas mengadakan mesyuarat khas bersama Pegawai Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang, pihak Malaysia Rail Link (MRL) dan wakil penduduk.
Beliau berkata, langkah pemindahan itu diambil kerana rumah-rumah tersebut terletak di kawasan rendah yang berisiko tinggi dinaiki air sepanjang tempoh pembinaan.
“Kos perpindahan ke rumah sewa bagi kesemua keluarga yang terlibat akan ditanggung sepenuhnya oleh MRL.
“Pemindahan sementara itu penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk tidak terjejas akibat masalah banjir yang semakin kerap berlaku sejak pembinaan bermula,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau turut berkata, sebuah kolam tadahan akan dibina sebagai langkah jangka panjang untuk mengatasi banjir kilat yang sering melanda kawasan itu.
Selain itu, pihak MRL juga bersetuju menanggung kos pembaikan rumah yang rosak akibat letupan bahan di tapak pembinaan dan memperbaiki jalan-jalan utama yang turut terjejas.
MRL turut mengambil langkah menghentikan kerja-kerja pembinaan pada hari Ahad dan hari-hari tertentu seperti hari peperiksaan bagi mengurangkan gangguan kepada penduduk setempat.
Amirudin turut berkata, pejabat Parlimen Gombak akan terus bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat bagi memastikan proses pembinaan ECRL berjalan lancar tanpa mengabaikan kesejahteraan penduduk.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |