Berita Semasa

Zulkapli dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baharu

BANGI – Datuk Dr. Zulkapli Mohamad dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu bagi mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sejak Disember lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas Dr. Zulkapli dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan, pembangunan modal insan.

Dalam Perkhidmatan Awam, Dr Zulkapli telah berkhidmat selama 31 tahun dengan jawatan pertama disandang sebagai Penolong Setiausaha Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1 Disember 1992.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam  (Pembangunan) di Jabatan Perkhidmatan Awam, Ketua Pegawai Eksekutif di Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation (SWCorp) dan Setiausaha Persekutuan Sabah di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

“Saya dimaklumkan bahawa Ke Bawah Dulu Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah memperkenankan pelantikan  YBhg. Dato’ Dr Zulkapli bin Mohamed sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam berkuatkuasa pada 27 Februari 2023.

“Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti oleh YBhg. Dato’ Dr Zulkapli bin Mohamed mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Dr Zulkapli Mohamad, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia, Ijazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari Universiti of Japan dan Ijazah Doktor Falsafah Kewangan Antarabangsa dari Universiti Meiji, Jepun.

Show More

Related Articles

Back to top button