Politik

PRN: Enam negeri sepakat bubar DUN dua minggu terakhir Jun

KUALA LUMPUR – Enam negeri mencapai kata putus untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). 

Negeri-negeri yang terlibat ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari, kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara enam Menteri Besar serta Ketua Menteri di ibu negara hari ini.

“Kami berenam mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) yang bersidang dua hari.

“Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Turut bersama dalam pertemuan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Selain itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Amiruddin berkata, persefahaman sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

“Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, Insya-Allah,” katanya lagi. 

Untuk rekod, tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan, diteraju Perikatan Nasional (PN).

Show More

Related Articles

Back to top button