Pindaan Perlembagaan UMNO 2023 halang MP beralih sokongan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen UMNO yang menyatakan sokongan kepada pakatan politik tidak dianggotai parti itu menyebabkan keahlian mereka boleh tergugur secara automatik.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perlembagaan UMNO yang dipinda pada 13 Januari 2023 menghalang ahli Parlimen bertindak membelakangi apa juga keputusan parti.
Larangan itu termasuk menyertai apa juga pakatan politik menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.
“Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO memperutukkan keahlian UMNO akan tergugur secara automatik sekiranya ahli UMNO yang telah dipilih sebagai ahli Parlimen dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO.
“Ini termasuklah menanda-tangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan sekaligus bertentangan dengan pendirian parti,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.
Asyraf Wajdi menjelaskan, kesan daripada tergugurnya keahlian, maka Akta Anti Lompat Parti memperuntukkan bahawa kerusi Ahli Parlimen yang dimenangi akan diisytiharkan kosong bagi membolehkan Pilihan Raya kecil diadakan.
Tambah beliau, setiap Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga terikat dengan perjanjian dan akujanji yang ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah bahawa mereka terikat dengan bon berjumlah RM100 juta.
Katanya, sebarang perlanggaran menyebabkan mereka wajib membayar RM100 juta kepada parti sebagaimana kes Zuraida melawan parti Keadilan Rakyat yang mana Mahkamah Tinggi memutuskan Bon RM10 juta ditetapkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah sah dan wajib dibayar.
“Semua pindaan ini dilakukan kerana mengambil iktibar ketidakstabilan politik yang memudaratkan rakyat dan negara selepas PRU14 tahun 2018,” katanya.