Politik

PH Pulau Pinang sudah diarahkan bincang dengan BN negeri, persediaan hadapi PRN

GEORGETOWN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang sudah diarahkan untuk memulakan rundingan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri bagi menghadapi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

Menurut Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow walaupun arahan itu sudah diterima daripada PH Pusat, pihaknya belum memulakan rundingan itu lagi.

“Perjumpaan dengan BN ini masih belum diuruskan, walaupun keputusan PH pusat untuk mula perbincangan sudah diketahui… secara rasmi tiada surat atau apa-apa untuk menetapkan bila kita akan berbincang,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian ketika ditanya mengenai perbincangan dan persediaan dalam menghadapi PRN, yang perlu diadakan tahun ini.

Beliau turut mencadangkan supaya mesyuarat PH negeri diadakan terlebih dahulu untuk membincangkan arahan pusat itu, sebelum mengadakan perjumpaan dengan wakil BN negeri.

“… sebab mesyuarat PH Pulau Pinang sebelum ini, ada bincang perkara ini tetapi tidak meneruskan apa-apa usaha kerana belum terima arahan daripada pimpinan dari pusat, jadi sekarang sudah ada, maka dalam mesyuarat PH negeri akan datang, kita akan lihat macam mana nak lakukan perbincangan dengan BN,” katanya lagi.

Enam negeri – Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu – perlu mengadakan PRN masing-masing, tahun ini.

Sementara itu, Chow berkata semua menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri yang akan terlibat dalam PRN bakal berjumpa pada Khamis ini untuk membincangkan dan menyelaraskan tarikh-tarikh penting.

Beliau berkata atas jemputan Menteri Besar Selangor, perjumpaan itu akan diadakan selepas perjumpaan semua menteri besar dan ketua menteri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya dan juga Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Perbincangan semua menteri besar dan ketua menteri ini melibatkan semua negeri yang akan adakan PRN termasuk negeri-negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN). Hanya satu perkara dalam agenda dan saya berharap semua tarikh-tarikh penting PRN dapat diselaraskan,” jelasnya lanjut.

Show More

Related Articles

Back to top button