Berita Semasa

Aset PETRONAS disita: Malaysia belum terima notis rasmi – Azalina

PUTRAJAYA – Malaysia masih belum terima notis rasmi berhubung perintah sita terbaharu yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg terhadap dua anak syarikat PETRONAS yang dituntut oleh kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah AS$15 bilion yang mereka peroleh terhadap aset kerajaan Malaysia di negara itu.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berikutan itu pihaknya tidak dapat mengesahkan laporan media yang tular semalam.

“Beberapa media melaporkan hari ini mengenai cubaan menyita aset di Luxembourg oleh pihak yang mendakwa mereka adalah waris Sultan Sulu terhadap Malaysia dan juga terhadap PETRONAS, sebuah syarikat bebas.

“Malaysia tidak menerima sebarang notis rasmi membabitkan perintah sitaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, apa yang dikatakan sebagai usaha terbaharu itu dilihat sebagai menggunakan perintah pertama yang gagal dilaksanakan sebelum ini, yang baru-baru ini ditarik balik oleh mahkamah di Luxembourg.

Justeru, katanya, Malaysia akan bersungguh-sungguh mempertahankan hak negara ini di mahkamah bagi memastikan perintah sitaan kedua ini, jika ia wujud, akan juga ditarik balik oleh mahkamah di Luxembourg, seperti mana perintah sebelum ini.

Pada masa sama, Azalina mengingatkan orang ramai bahawa pihak berkenaan dan peguam mereka cuba memesongkan kebenaran kepada pihak media, seperti yang dilakukan di mahkamah sebelum ini.

“Kes ini berkenaan dengan skandal timbang tara sebenar yang menjejaskan dua institusi asas prinsip undang-undang, iaitu menghormati undang-undang dan mematuhi mahkamah, dan Malaysia tidak akan akan berputus asa dalam mempertahankan haknya,” katanya.

Semalam media melaporkan, Mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sita baharu kepada dua anak syarikat PETRONAS susulan tuntutan daripada waris kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah AS$15 bilion yang mereka peroleh terhadap aset kerajaan Malaysia.

Agensi media antarabangsa, Reuters melaporkan dalam dokumen mahkamah yang dilihatnya daripada peguam Kumpulan Sulu, mereka memohon untuk menguatkuasakan anugerah AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button