Bisnes & Ekonomi

Rafizi mahu prestasi ekonomi dilihat dari sudut sukuan kerana ada penurunan

PUTRAJAYA – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022 yang menjadi rekod tertinggi dalam tempoh 22 tahun perlu dilihat dari sudut pertumbuhan sukuan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pencapaian memberangsangkan itu sewajarnya dilihat semula dari perspektif sukuan kerana ia memberikan gambaran yang berbeza kerana bacaan pada suku-suku tertentu menunjukkan penurunan sehingga mencapai tahap negatif pada suku terakhir.

“Pertumbuhan sukuan menunjukkan penurunan dari 3.8 peratus (ST1) ; 3.5% (ST2); 1.9% (ST3) dan -2.6% (ST4) 2022.

“Polar ekonomi kita jelas menunjukkan prestasi dari suku ke suku mula menyederhana pertumbuhannya pada 2022.

“Penilaian dari sudut sukuan ini perlu untuk memberi gambaran penuh pertumbuhan penuh negara,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia di sini, hari ini.

Rafizi berkata, dalam keadaan pertumbuhan ekonomi global yang dijangka lebih perlahan dalam tahun ini dan pertumbuhan sukuan yang perlahan selama empat suku berturut-turut dalam tahun 2022, kerajaan sedar keperluan untuk bersiap sedia menghadapi suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Justeru katanya, kerajaan akan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan program ekonomi yang memberi fokus kepada dua perkara pokok ekonomi rakyat, iaitu kos sara hidup dan pendapatan rakyat.

Sehubungan itu kata Rafizi, negara berupaya untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi seawal 2026 jika pertumbuhan ekonomi tahunan negara kekal berkembang sekitar antara empat hingga lima peratus.

Tempoh itu katanya akan dapat disingkatkan kepada dua tahun sekiranya pertumbuhan ekonomi melepasi paras lima peratus.

Pada masa yang sama beliau turut mengumumkan Kementerian Ekonomi akan melancarkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk menambah pendapatan rakyat pada 26 Februari ini.

“Sasaran pertama IPR adalah golongan miskin tegar dan keluarga B40 di seluruh negara.

“Usaha yang diberi tumpuan adalah untuk memperbaiki, mengimbangi libat urus dan perancangan sektor korporat dan swasta supaya kesan ekonomi ini dirasai oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan dasar-dasar bersabit penggajian rakyat akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusi oleh Perdana Menteri supaya dasar negara diselaraskan ke arah satu sasaran pertumbuhan gaji yang menyeluruh.

“Mesyuarat pertama MTEN dijangka akan diadakan pada bulan Mac 2023,” jelasnya.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan sebanyak 8.7 peratus pada 2022.

Show More

Related Articles

Back to top button