Bajet 2023: Kerajaan sediakan ruang baharu golongan miskin dan muda jana pendapatan tambahan
CYBERJAYA – Kerajaan akan mewujudkan ruang baharu bagi golongan miskin dan muda menjana pendapatan tambahan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 24 Feb.
Laporan portal BH Online menyebut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli sebagai berkata, inisiatif itu membuka peluang kepada rakyat meningkatkan pendapatan bagi mengimbangi kesan inflasi, seperti kenaikan harga barangan, serta menampung perbelanjaan mereka.
Perincian inisiatif itu akan diumumkan Anwar yang juga menteri kewangan ketika membentangkan belanjawan nanti.
“Kita akan umumkan menjelang hujung Februari. Saya tunggu bajet diumum dan diluluskan dulu.
“Selepas akhir Februari, akan diperkenal program melibatkan inisiatif meningkatkan pendapatan rakyat, merangkumi harga barang dan soal pendapatan,” kata Rafizi dalam laporan tersebut.
“Perkara itu sudah dimasukkan dalam Belanjawan 2023. Program pilot pertama (perintis) sedang disusun dan kita tunggu belanjawan diluluskan, lepas itu kita umumkan,” katanya lagi.
Tambah Rafizi, Parlimen Pandan akan menjadi antara lokasi perintis projek bagi mengukur keberkesanan inisiatif baharu itu.
“Insya Allah salah satu inisiatif untuk meningkatkan pendapatan rakyat bagi golongan miskin ini. Kita akan uji dan lancar di Pandan dulu.
“Kalau berjaya, dapat sambutan baik daripada penduduk di Pandan, kita boleh sebar luaskan ke seluruh Malaysia,” jelasnya.