Berita Semasa

KKDW tekad rapatkan jurang antara bandar dan luar bandar

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus berusaha merapatkan jurang antara penduduk di bandar dan luar bandar membabitkan beberapa aspek yang telah digariskan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut merangkumi empat aspek utama iaitu membabitkan prasarana seluruh bandar, model modal insan, keusahawanan dan ekonomi.

“Daripada keempat-empat bidang ini, kita bukan saja akan memfokus kepada ‘output’ (hasil), malah ‘outcome’ (keputusan) di mana akan ada beberapa perubahan serta tindakan susulan daripada semua saranan yang sudah diterima melalui semua peringkat.

“Namun, kita akan mengambil satu langkah ke hadapan untuk melaksanakan semua aspek yang diketengahkan dan berhasrat untuk merapatkan jurang antara di luar bandar dan di bandar supaya tidak berlaku terlalu banyak migrasi atau perpindahan kerana tidak banyak peluang pekerjaan dan perniagaan di luar bandar.

“Oleh itu, kita akan wujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan di luar bandar serta perubahan-perubahan lain dalam memajukan ekonomi di luar bandar dan KKDW akan menjadi pemudah cara kepada transformasi yang telah dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Bengkel Hala Tuju KKDW di Hotel Seri Pacific di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, antara usaha yang akan dilakukan bagi meningkatkan pembangunan luar bandar, termasuklah mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Katanya, bidang teknikal serta keusahawanan berdasarkan sumber tempatan antara industri yang boleh diceburi oleh anak desa.

“Kita mempunyai sektor TVET, dan TVET kita mempunyai dua aspek, satu mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam bidang teknikal kepada anak-anak desa, yang kedua mewujudkan usahawan berdasarkan pengunaan sumber tempatan.

Show More

Related Articles

Back to top button