Lawatan rasmi TPM Zahid ke Timor-Leste buahkan hasil
KUALA LUMPUR – Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid hamidi ke Republik Demokratik Timor-Leste telah membuahkan hasil sepertimana yang diharapkan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pertemuan dengan Presiden José Ramos-Horta, Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão dan beberapa lagi pemimpin lain telah memberikan peluang kepada Malaysia dan Timor-Leste untuk mengembangkan potensi kerjasama dan meneroka bidang-bidang baharu yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Beberapa pertemuan dan perbincangan telah dilakukan berkisar kepada usaha memperkasa hubungan dua hala kedua-dua negara.
“Ia termasuk tumpuan kepada sektor-sektor tertentu seperti pembangunan desa,perumahan, industri halal, pemerkasaan sektor pelancongan yang semakin berkembang serta usaha Timor-Leste untuk menjadi anggota baharu di dalam ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebagai simbolik memperkukuh hubungan dua-hala di antara kedua-dua negara, Kerajaan Timor-Leste telah menganugerahkan kepada Malaysia tanah seluas 6,000 meter persegi.
Jelas beliau, tanah tersebut boleh dimanfaatkan untuk pembinaan Kedutaan Malaysia dan pelbagai kegunaan untuk rakyat Malaysia di sini.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha untuk meningkatkan perdagangan dua-hala turut dilakukan dengan membuka peluang penglibatan yang lebih luas kepada sektor swasta untuk memainkan peranan mereka.
“Dalam hal ini, saya telah mencadangkan supaya TradeInvest Timor-Leste bagi menjalankan misi perdagangan dan pelaburan ke Malaysia dengan meneroka pelbagai peluang pelaburan yang berpotensi untuk manfaat kedua-dua negara,” ujarnya.
Tambah Timbalan Perdana Menteri, Malaysia, melalui Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) juga terus komited untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan Timor-Leste di bawah rangka Kerjasama Selatan-Selatan.
“Setakat ini, Malaysia telah melatih 781 peserta dari Timor-Leste melalui pelbagai kursus dan program bantuan teknikal yang ditawarkan,” ujarnya.
Selain itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Institut Kemajuan Desa (INFRA) akan menjemput para pemimpin dan pegawai Kerajaan dari Timor-Leste yang terlibat secara langsung dengan pembangunan luar bandar untuk hadir ke Malaysia.
“Lawatan mereka akan membuka peluang bagi mereka untuk melakukan kajian kes dan menimba pengalaman Malaysia membangunkan luar bandar,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune