48 ditahan cubaan mencuri dan menipu mangsa gempa bumi
ISTANBUL – 48 orang ditahan pihak berkuasa Turkiye atas kesalahan mencuri dan cubaan untuk menipu mangsa gempa bumi yang melanda negara itu baru-baru ini.
Kesemua suspek ditahan di lapan wilayah berasingan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Agensi berita Anadolu melaporkan 42 suspek ditahan kerana mencuri di wilayah selatan Hatay, manakala enam lagi ditahan kerana jenayah menipu mangsa di Gaziantep menerusi telefon.
Presiden Recep Tayyip Erdogan semalam menegaskan bahawa pihak berkuasa Turkiye akan mengesan dan menahan pencuri susulan pengisytiharan darurat di 10 wilayah yang terkesan dengan bencana gempa bumi.
“Kita sudah mengisytiharkan darurat,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Berdasarkan dekri yang disiarkan di warta rasmi kerajaan susulan pengisytiharan itu, pendakwa raya kini boleh menahan individu selama seminggu berbanding hanya empat hari atas kesalahan mencuri.
Terdahulu, Erdogan sebelum ini mengisytiharkan perintah darurat di 10 wilayah selama tiga bulan susulan bencana gempa bumi yang melanda Turkiye.
Setakat hari ini, bencana itu sudah meragut hampir 26,000 nyawa di Turkiye dan Syria.