
Dua warga Sweden ditembak mati di Brussels, suspek masih bebas
BRUSSELS – Dua rakyat Sweden ditembak mati di ibu negara Belgium, Brussels, pada petang Isnin dan suspek dilaporkan melarikan diri selepas melepaskan tembakan, menurut stesen penyiaran kerajaan, VRT.
Motif pembunuhan yang dikaitkan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Euro 2024 antara Belgium menentang Sweden pada hari pembunuhan tersebut bagaimanapun, masih belum jelas.
Dua mangsa terbunuh itu juga dikatakan memakai baju bola sepak milik pasukan kebangsaan Sweden menjelang perlawanan antara Sweden dan Belgium.
Susulan kejadian itu, perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan tersebut telah dibatalkan, demikian menurut UEFA.
Pemain Sweden juga dikatakan enggan meneruskan permainan selepas serangan berkenaan dan kira-kira 35,000 penyokong ditahan untuk siasatan lanjut.
Selepas serangan tersebut, tahap ancaman keganasan di Brussels dinaikkan ke tahap 4 susulan suspek yang dikatakan masih bebas.
Ketika ini, polis meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar bandaraya, kata Datuk Bandar, Philippe Close dalam hantarannya di platform X.
“Selepas penembakan di Brussels, polis meningkatkan kawalan untuk menjamin keselamatan di sekitar ibu negara kita bekerjasama dengan Menteri Dalam Negeri,” kata Close.
“Saya berada di pusat krisis… untuk memastikan koordinasi,” katanya.
Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo turut memuat naik kenyataan di platform X dengan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa serangan yang keji di Brussels ini. Saya sedang memantau situasi ini dengan rapat bersama Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri dari Pusat Krisis Belgium. Kami mengawasi situasi ini dan meminta penduduk Brussels untuk berhati-hati,” ujarnya.
Pusat Krisis negara itu juga menghantar kenyataan di platform X dan turut meminta agar tiada gambar atau video yang berkaitan dengan insiden tersebut dikongsi.
“Malam ini, satu penembakan berlaku di Brussels. Terdapat mangsa yang terkorban. Dengan penuh hormat, kami meminta agar tiada gambar atau video yang berkaitan dengan insiden ini dikongsi,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |